Thursday, December 9, 2010

Demam Denggi/ Dengue Fever - You better WATCH OUT!!!!!!!

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa. Nyamuk aedes boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu Aedes aegypti mempunyai tanda atau tompok putih-perak di kepala yang terbang di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah manakala Aedes albopictus menunjukkan  terdapat garisan putih-perak di sepanjang pertengahan kepala dan badan, lebih gemar berada di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Kedua-dua jenis nyamuk ini mempunyai persamaan melalui tabiat bertelurnya iaitu lebih gemar bertelur di dalam bekas yang menakung air.  Demam denggi berpunca dari nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti dan membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Memandangkan penyakit ini berlaku di kebanyakan negara tropikal yang terletak di garisan khatulistiwa, sejumlah 2 bilion penduduk di negara-negara ini dibimbangi terdedah kepada denggi. Infeksi denggi mungkin berupa Asymptomaticatau dan Symptomatic, yang mungkin membawa kepada jenis demam denggi tertentu. Dalam perubatan moden, demam denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus denggi (virus Flavivirus) yang dibawa oleh nyamuk. Individu yang sihat cenderung menghidap penyakit ini menerusi gigitan nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi. Antara jenis demam yang kerapkali disebut-sebut ialah demam tanpa mengalami sebarang gejala iaitu denggi klasik (Classical Dengue Fever). Dalam kes ini pesakit mengalami demam kuat selama empat hingga tujuh hari, sengal tulang yang diikuti dengan munculnya bintik-bintik merah di bawah kulit. Demam denggi berdarah (Dengue Haemorrhagic Fever atau Dengue Shock Syndrome) pula mempunyai gejalanya yang hampir sama dengan denggi biasa namun pesakit akan mengalami pendarahan pada hidung, lipatan siku, mulut. Demam denggi berdarah amat merbahaya dan boleh membawa kepada risiko kematian. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan kawasan tertentu di negara-negara tropikal.

Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Kebiasaannya pesakit yang disyaki denggi akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan meminum air dengan lebih kerap. Pesakit akan dimasukkan ke wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah dan semasa menjalani sesi rawatan pesakit akan di beri  rawatan utama iaitu terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan cecair  badan mengambil air dengan banyak. Sekiranya pesakit tidak mahu  atau mampu minum, air  akan ditambahan melalui cecair intravena akan diberikan untuk menghalang kekeringan air dalam badan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya kuantiti platlet darah turun dengan mendadak.

Simptom-simptom demam denggi ialah:
-         demam kuat secara mengejut.
-         demam berterusan
-         sakit teruk pada tulang-tulang, otot, sendi, mata
-         ruam atau bintik merah di kulit
-         pendarahan di bawah kulit, hidung serta gusi
-         pesakit juga akan mengalami sakit kepala
-         hilang selera makan
-         muntah-muntah dan sakit perut.

Ia kemudian diikuti dengan denyutan nadi yang lemah, tekanan darah rendah (hipotensi), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan. Dalam sesetengan keadaan tertentu, jika rawatan tidak diberikan dengan segera pesakit mungkin akan meninggal dunia dalam tempoh 12 – 24 jam.

Amalan Pencegahan
Amalan pencegahan boleh dilakukan dengan menjaga kebersihan sekeliling rumah sama ada di dalam dan di luar rumah bagi menghindarkan pembiakan nyamuk. Pekara ini perlu kerana tanpa kita sedar kawasan rumah dalah kawasan yang amat sesuai sebagai habitat pembiakan nyamuk Aedes. Cara yang paling praktikal dalam usaha mengelakkan dijangkiti  demam denggi dan menghalang pembiakan nyamuk antaranya ialah  menggunakan penyembur racun serangga, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas simpanan air, menutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur, sentiasa menukar air di dalam bekas simpanan air, jambangan bunga dan kolah mandi setiap minggu. Orang ramai perlu memberi kerjasama dan membenarkan petugas menyembur kabus (fogging) di dalam rumah. Aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran sangat digalakkan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Justeru itu, demam denggi merupakan penyakit yang sangat berbahaya dan mengancam kesejahteraan hidup dan masyarakat setempat. Walaupun kita kerap didedahkan dengan berita tentang kematian akibat deman denggi ini, masyarakat masih lagi mengabaikan tahap kebersihan rumah dan kawasan persekiran. Masyarakat dan pihak penguatkuasaan perlu lebih melipatgandakan usaha untuk mencegah penyakit demam denggi. Pihak berkuasa perlu melaksanakan penguatkuasan berterusan yang lebih berkesan agar dapat menghapuskan kawasan pembiakkan nyamuk. Sekiranya pekara ini dilaksanakan dengan lebih berkesan sudah pasti masalah denggi dalam kalangan masyarakat kita dapat dikawal dan dikurangkan. Ingatlah “Denggi Membunuh”.

No comments:

Post a Comment